Cinta Pertama ... pernahkah
anda mengalaminya? Aku yakin, semua orang pernah ada kenangan terhadap cinta
pertama. Apakah definisi cinta pertama kepada anda?
Bagi aku, memang indah jika
ada perasaan cinta itu menyelinap dan terus menyusup ke dalam kalbu. Memang
sempurna hidup kita jika warna-warna cinta menghiasi di jiwa. Namun, tidak
semua yang kita impikan, akan menjadi kenyataan. Kadang-kadang dalam keasyikkan
menyimpul buih-buih cinta, tiada siapa menduga badai yang menjelma sehingga
buih-buih itu berterbangan dan terus lenyap. Kadang-kadang, siapa yang menduga
hujan juga mampu turun di tengah hari walaupun cuaca terang-benderang.
Definisi peribadi terhadap
cinta pertama – bagi aku cinta pertama adalah laluan hati untuk kita merasai
apa itu erti cinta yang sebenarnya. Laluan bagi jiwa untuk mengundang rasa
rindu dan laluan bagi kalbu untuk menyimpul bunga-bunga bahagia. Namun, tidak
semua cinta pertama akan berakhir hingga ke jinjang pelamin. Alangkah indahnya
jika cinta pertama itu berjaya hingga ke jinjang pelamin. Alangkah beruntungnya
mereka yang berjaya membawa cinta pertama sehingga ke jinjang pelamin. Namun,
itulah hakikat kehidupan ... tidak semuanya indah-indah belaka.
Cinta Pertama juga tidak
semestinya cinta sejati kepada seseorang insan itu. Mungkin cinta sejatinya
berada pada insan lain namun jika kita tidak membuka pintu hati kita kepada
insan itu, bagaimana cinta sejati yang kita dambakan akan hadir untuk menghuni
diri kita. Aku akui, sememangnya tidak mudah untuk melupakan cinta pertama.
Kadang-kadang, kita masih terkenangkannya walaupun cinta pertama itu sebenarnya
amat menyakitkan hati. Kadang-kadang, cinta pertama tidak boleh dibanggakan kerana
ia mampu merobek dan mencalar jiwa yang suci. Namun, kadang-kadang aku
terfikir, kenapa harus wujudkan perasaan cinta itu di dalam diri sedangkan dia
tidak tercipta untuk kita. Adakah untuk kita merasai apa ertinya rindu kemudian
diberikan pula kita merasai apa ertinya kecewa. 3 in 1, itulah selayak-layaknya
untuk aku mencampurkan kesemua perasaan ini jika cinta kita kecundang di
pertengahan jalan.
Pernahkah anda terfikir,
kenapa masih ramai yang membujang walaupun usia sudah menghampiri ke penghujung
senja (Sama ada lelaki ataupun wanita). Jangan menuduh sembarangan tanpa asas
yang kejap. Memilih ... harus memilih agar jiwa tidak tercalar namun yang
penting, pernahkah anda sedar bahawa cinta pertamalah merupakan punca utamanya
ramai yang memilih hidup membujang. Kadang-kadang, insan takut untuk mengundang
cinta itu lagi untuk bertahkta di sanubarinya kerana takut kecewa menghiasai
rumah jiwanya semula. Memang sukar untuk membentuk rumah jiwa jika kecewa sudah
menghiasi di dalamnya. Kadang-kadang ia mengambil masa bertahun untuk mengubati
parah yang hadir. Namun, sampai bila kita harus mengenang cinta pertama jika ia
amat menyakitkan? Sampai bila kita hendak menutup pintu hati kepada mereka yang
layak bertahkta di dalamnya? Sampai bila kita hendak dingin pada perasaan cinta
sedangkan naluri kita amat memerlukannya untuk mengisi kekosongan di dalam
jiwa. Sampai bila kita harus menyendiri jika kita tak pernah memberi peluang
untuk mengundang cinta sejati? Kadang-kadang, cinta hati kita berada hampir dengan
kita Cuma kita yang tidak perasaan kerana terlalu taksub dengan cinta pertama
yang menyakitkan hati itu sehingga kita terlepas cinta sejati. Kita harus
membuka mata untuk melihat cinta sejati kita agar kita tidak menyesal di
kemudian hari sekiranya cinta sejati itu juga terlepas daripada genggaman kita.
Dulu aku pernah kecewa.Bukan sekali tapi berkali-kali lah.hihihi... Memang sukar untuk percaya pada lelaki,tapi sampai bila harus aku membenci lelaki ni.Suatu masa aku kena juga terima lelaki dalam hidup ni dan aku telah pun cuba buka pintu hati aku untuk pada yang sudi menerimanya. Oleh itu, anda harus bersyukur jika anda telah dipertemukan jodoh
dan hargailah pasangan masing-masing kerana bagi sesetengah insan, tidak mudah
untuk bertemu jodoh dan tidak mudah untuk menyerah hati untuk dimiliki.
Kesimpulan yang dapat aku
simpulkan disini, kadang-kadang cinta pertama membuatkan seseorang itu hilang
kepercayaan kepada lelaki/wanita sehingga keraguan sentiasa timbul di hati
mereka untuk mengecapi bahagia. Kadang-kadang mereka sanggup membujang hingga
ke akhir hayat gara-gara cinta pertama yang menyakitkan hati. Walau apa pun
situasi cinta yang anda alami, satu yang aku harap – hargailah cinta yang hadir
kerana sekali ia pergi, susah untuk mengundangnya semula ...
Dan jika anda suka pada
seseorang itu, luahkannya agar dia juga tidak terlepas ke dalam tangan orang
lain. Kita harus mengambil risiko terluka jika kita cintakan seseorang itu
kerana jika kita hanya memendamkannya, mungkin si dia yang menjadi dambaan hati
juga akan berlalu pergi .... Alangkah ruginya selepas dia dimiliki baru kita
tahu bahawa dia juga mempunyai perasaan yang sama dengan kita, hanya kerana
kita terlambat, dia menjadi bunga larangan di jambangan orang.
No comments:
Post a Comment